Tekat ialah teknik sulaman tradisional Melayu yang menggunakan benang emas yang dijahit pada kain, biasanya kain baldu. Seni ini terkenal dengan coraknya yang halus dan penampilannya yang mewah, terutamanya dalam majlis tradisional Melayu dan acara diraja – seperti majlis perkahwinan dan majlis pertabalan.
Tekat merupakan seni tradisional yang telah wujud sejak 500 tahun dahulu ketika zaman Kesultanan Melaka, sama seperti baju kurung dan busana Melayu lain. Seni menekat boleh dianggap meluas dan terkenal di negeri Perak, terutamanya di daerah Kuala Kangsar. Pakaian dan perhiasan Tekat sering dikaitkan dengan budaya golongan elit, khususnya dalam kalangan keluarga diraja dan pembesar istana. Sehingga kini, hiasan seperti baldu yang bertekat turut digunakan di singgahsana atau Balairung Seri ketika istiadat berlangsung. Selain itu, baju Muskat Yang di-Pertuan Agong juga dihiasi dengan Tekat serta pending diraja, iaitu sejenis perhiasan yang dipakai di bahagian pinggang.
Terdapat empat komponen dalam Tekat. Pertama ialah kain dasar, iaitu kain yang menjadi asas sulaman ditekatkan. Kedua ialah mempulur, iaitu lapisan asas di bawah benang emas atau perak yang biasanya diperbuat daripada kadbod atau kertas berlapis. Ketiga ialah motif, yang lazimnya diambil daripada unsur flora dan fauna seperti pucuk rebung, bunga kekwa, bunga cempaka, bunga raya dan bunga teratai. Akhir sekali ialah peralatan, iaitu benang emas atau perak, geligin dan pemidang. Dahulu, benang menekat diimport dari negara seperti Perancis atau Jerman, menjadikannya mahal dan sukar diperoleh.
Sehubungan dengan itu, tekat merupakan seni sulaman yang sangat halus dan memakan masa yang panjang untuk disiapkan. Ia mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu bergantung pada saiz dan kerumitan corak. Proses ini memerlukan ketelitian kerana setiap benang perlu disusun dan dijahit satu per satu di atas kain baldu. Sebagai contoh, corak seperti bunga teratai atau pucuk rebung boleh mengambil masa yang lebih lama kerana ia mempunyai banyak lapisan dan lengkungan halus. Selain itu, penggunaan mempulur juga mengambil masa yang panjang kerana ia perlu dipotong dan dibentuk dengan tepat sebelum proses sulaman dimulakan.

Tepak Sirih Bertekat. Sumber: Islamic Arts Museum Malaysia
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa seni Tekat semakin kurang mendapat perhatian dan semakin merosot, terutamanya di kalangan generasi muda. Menurut pelopor dan penggiat tekat Azizah Adam, golongan muda sukar untuk mengekalkan fokus selama berjam-jam dalam proses menekat. Oleh itu, jika tiada minat yang mendalam, atau ‘jiwa’ dalam seni tekat, ia menjadi sesuatu yang agak mencabar untuk dilakukan. Justeru, pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan bagi memastikan seni Tekat terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Antaranya usaha yang telah diperkenalkan ialah penganjuran pameran Inspired by TEKAT di Temu House Petaling Jaya, yang menampilkan tafsiran seni tekat dalam bentuk moden dan kontemporari. Pameran ini bukan sahaja mempersembahkan karya seni visual oleh artis tempatan dan pelajar institusi seni, malah turut merangkumi demonstrasi, sesi perkongsian serta aktiviti interaktif bersama penggiat seni.

Sumber: Temu House
Melalui pendekatan ini, pengunjung berpeluang untuk memahami dengan lebih mendalam keindahan seni tekat serta melihat potensi baharu kraf warisan ini dalam dunia seni moden.
Sumber dan Rujukan:
Berita Harian. (2024). Dedikasi tinggi martabatkan seni Sulaman tekat.
BERNAMA (Mei, 2026). Pameran "Inspired By TEKAT" Ketengah tafsiran semula seni sulaman tradisional Melayu.
Jabatan Warisan Negara. (n.d.). Tekat (kraf tradisional)
Tangan Kraf. (n.d.). Mardziah, the third generation embroiderer in Kuala Kangsar.
