Skip to content

Seni Kelingkan

Kelingkan adalah bentuk Sulaman tradisional Melayu yang menggunakan kepingan logam yang disulam di atas kain. Perkataan kelingkan berasal daripada perkataan Perancis clinquant yang bermaksud berkilau. Ia boleh dikaitkan dengan zaman kesultanan Melayu Melaka pada 1500an dan menjadi popular dikalangan pembesar istana dan raja-raja Melayu pada abad ke-19. Unsur-unsur kelingkan dipercayai mula berkembang ketika Kesultanan Melayu Melaka menjadi pusat jaringan perdagangan antarabangsa yang menghubungkan pedagang dari Cina, Asia Barat dan Eropah. Melalui jaringan perdangan ini lah pengaruh seni tekstil dan teknik hiasan dibawa masuk selain barangan mewah seperti kain dan benang logam.

Asian Maritime Silk Trade Route. Sumber: Gwyn Campbell

Menurut The Encyclopedia of Arts in Asia Pacific Region, kelingkan berbeza daripada tekat kerana ia menggunakan teknik jahitan tikam-timbus. Untuk tekat pula, benang logam hanya diletakkan dan disemat pada permukaan kain tanpa menembusi fabrik. Teknik tikam-timbus ialah kaedah sulaman dimana jalur benang logam atau ribbon stitch dimasukkan atau “ditikam” menggunakan jarum bermata dua (two-eyed needle) ke dalam kain yang direnggang pada pemidang.

Lazimnya, corak dan motif kelingkan diambil daripada unsur flora dan fauna dan alam semula jadi seperti itik pulang petang, buah nona dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, alatan yang digunakan pula terdiri daripada jarum sulam bermata dua, benang pipih logam dan pemidang. Kelingkan biasa nya digunakan sebagai hiasan untuk baju kurung dan baju kebaya, tudung, selendang dan baju pengantin. Sebagai contoh, ia sering dihias pada tepi tudung pengantin serta di bahagian lengan dan leher baju kurung dan kebaya.

Selain itu, terdapat tiga kaedah atau jenis kelingkan, iaitu Kelingkan asas, Kelingkan Sarawak dan Kelingkan Selangor. Kelingkan Asas menggunakan teknik tikam-timbus dan diamalkan di hampir setiap negeri di Malaysia, manakala Kelingkan Sarawak (Keringkam) menggunakan teknik counted thread, dan Kelingkan Selangor menggunakan teknik jahitan reben. Ketiga-tiga teknik ini berasal daripada pengaruh Timur Tengah dan juga Belanda. Namun, di antara ketiga-tiga ini, jenis dan teknik yang lebih unik ialah Kelingkan Selangor kerana ia tidak menggunakan pemidang. Dalam pada itu, Seni Kelingkan Selangor banyak dipengaruhi oleh istana Selangor di bawah naungan Tengku Ampuan Jemaah, yang juga merupakan Raja Permaisuri Agong kedua.

Kellingkan Selangor. Sumber: Muzium Tekstil Negara

Selain kelingkan, beliau juga telah giat memelihara dan memartabatkan pakaian tradisional Melayu seperti baju kebaya dan selendang, dan juga telepuk. Namun begitu, dari segi ketelitian dan kehalusan (refine), Kelingkan Kelantan yang tergolong dalam Kelingkan Asas lebih menyerlah kerana setiap benang dijahit dengan lebih rapat seterusnya menghasilkan motif yang lebih padat dan kemas.

Walau bagaimanapun, seperti seni warisan yang lain, seni kelingkan menghadapi cabaran untuk kekal relevan dalam kalangan masyarakat moden, terutama generasi muda, yang lebih cenderung kepada teknologi dan ganjaran atau kepuasan segera (instant gratification). Di forum Pesona Seni Kelingkan anjuran Muzium Tekstil Negara, panelis Dr Rose Salina dari UiTM menyatakan bahawa proses Sulaman kelingkan memerlukan kesabaran dan fokus yang tinggi, dan ini mungkin menjadi antara sebab mengapa seni kelingkan kurang menarik minat golongan muda. Oleh yang demikian, beliau mencadangkan bahawa seni kelingkan boleh diperkenalkan semula dalam bentuk yang lebih santai dan mesra, seperti dalam bentuk animasi Jepun Anime agar lebih mudah diterima oleh golongan muda. 

Selain itu, didalam forum yang forum sama yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang peserta, panelis Puan Intan Salina Idrus berpendapat bahawa seni kelingkan dapat kekal relevan sekiranya seni ini “dirakyatkan” dan diperluas kepada semua lapisan masyarakat berbanding hanya dikaitkan dengan golongan elit. Selaras dengan pandangan tersebut, pada tahun 2022, BERNAMA melaporkan bahawa Tengku Permaisuri Selangor telah memberi titah agar usaha “merakyatkan” seni kelingkan dipergiatkan melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Baginda menggesa PADAT untuk merancang pelbagai program, bengkel dan aktiviti bagi memperkenalkan seni kelingkan kepada masyarakat, khususnya generasi muda, sekali gus memastikan ia dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Forum Pesona Seni Kelingkan. Sumber: Muzium Tekstil Negara

Bak kata pepatah Melayu, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, seni kelingkan wajar terus dipelihara sebagai warisan budaya yang tidak ditelan zaman. Usaha seperti penganjuran Pesona Seni Kelingkan yang dianjur oleh Muzium Tekstil Negara di ibu kota pada 16 Jun lalu yang memperkenalkan dan mempamerkan seni kelingkan, merupakan langkah awal yang positif dalam memartabatkan seni kelingkan. Namun begitu, usaha tersebut perlu diperluaskan agar dapat menjangkau masyarakat yang lebih luas, bukan hanya penggiat industri tekstil dan kakitangan muzium. Justeru, penganjuran lebih banyak program, bengkel, pameran serta aktiviti interaktif yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan muda, mampu meningkatkan kesedaran dan minat terhadap seni kelingkan.

Rujukan:
Ghani, A. A. (2018, August). Kelingkan (Malay) | The Encyclopedia of Crafts in WCC-Asia Pacific Region (EC-APR). - Encyclocraftsapr.com

BERNAMA. (2022, August 8). Tengku Permaisuri Selangor titah pulihkan kembali seni sulaman kelingkan. - Awani


Cart

Your cart is currently empty.

Start Shopping

Select options